Ahad, 10 Julai 2016 | 1:47pm

Pemuda maut, motosikal langgar kereta

GUA MUSANG: Seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggangnya melanggar sebuah kereta PROTON Iriz di Kilometer 32, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat FELDA Chiku 1, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, mangsa, Muhamad Ridhwan Mohd Radhi, 21, berasal dari Kampung Bukit Kulim, Marang, Terengganu, maut di tempat kejadian, manakala pemandu PROTON Iriz berusia 27 tahun bersama seorang penumpang yang ketika itu mahu pulang ke rumah di FELDA Chiku 5, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Rajab Ahad Ismail, berkata ketika kejadian mangsa menunggang motosikal seorang diri dari Kuala Krai menghala ke Gua Musang.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa melanggar kereta PROTON Iriz yang keluar dari simpang di situ.

"Berikutan kemalangan itu, mangsa yang parah di kepala dan badan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X