Jumaat, 8 Julai 2016 | 5:48pm
PANG Choon Hua, diberi bantuan oleh rakan-rakan sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke klinik kesihatan berhampiran untuk rawatan. - Foto Rosli Ilham
PANG Choon Hua, diberi bantuan oleh rakan-rakan sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke klinik kesihatan berhampiran untuk rawatan. - Foto Rosli Ilham

Ejen hartanah maut terjatuh dalam lubang

DUNGUN: Kegembiraan 15 rakan menikmati percutian berakhir pilu selepas seorang daripada mereka maut selepas tergelincir ke dalam lubang di kawasan Lubuk Cermai, Hulu Dungun, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, Pang Choon Hua, 43, dari Kampung Baru Senai, Johor, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke klinik kesihatan berhampiran untuk rawatan.

Difahamkan, mangsa bersama rakannya memasuki kawasan itu untuk berkhemah dengan menaiki lima kenderaan pacuan empat roda (4X4) sejak kelmarin.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan berhenti untuk merakam gambar aksi kenderaan pacuan roda rakannya melintasi sungai terbabit sebelum terjatuh ke dalam lubang besar yang dilitupi tumbuhan sedalam empat meter.

Mangsa cedera parah di kepala akibat terhantuk pada batu dalam lubang berkenaan sebelum diselamatkan oleh rakannya.

Bagaimanapun, Choon Hua yang bekerja sebagai ejen hartanah, disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke klinik kesihatan berdekatan sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Dungun untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Berita Harian X