Jumaat, 1 Julai 2016 | 11:30am

Kegiatan edar dadah dalam PUSPEN tumpas

SEREMBAN: Tujuh penghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di Jelebu, ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah dalam pusat itu.

Mereka yang berusia antara 28 tahun dan 42 tahun, ditahan Rabu lalu untuk siasatan selama 60 hari mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

Ketua Polis Negeri, Datuk Jaafar Mohd Yusof, berkata tujuh lelaki terbabit ditahan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri bersama PUSPEN, selepas mendapat maklumat mengenai pembabitan aktif pengedaran dadah di situ.

Katanya, suspek yang berasal dari Johor, Selangor, Perak, Kedah dan Melaka, dimasukkan ke PUSPEN Jelebu, tahun lalu.

"Semua lelaki terbabit mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah merangkumi penagihan, pemilikan dan pengedaran," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Susulan penangkapan itu, Jaafar berkata, polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah kumpulan terbabit di PUSPEN.

Sementara itu, katanya, program rawatan dan pemulihan sedia ada kurang berkesan untuk menangani masalah penagihan dadah terutama di negeri ini.

Katanya, seramai 1,897 atau 64 peratus daripada 3,006 penagih yang ditangkap sejak Januari lalu, adalah penagih berulang manakala 1,109 (36 peratus) adalah penagih baharu.

Berita Harian X