Khamis, 30 Jun 2016 | 10:18am

Lelaki maut kereta terjunam ke sungai

ANGGOTA PPDA JBPM Kedah menarik kereta yang terjunam ke dalam sungai.
ANGGOTA PPDA JBPM Kedah menarik kereta yang terjunam ke dalam sungai.

JITRA: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam sungai di Jalan Lana Bulu, dekat Kampung Tandop, di sini pagi tadi.

Mayat Lim Keat Siong, 29, ditemui dalam kereta jenis Mercedes Benz yang tenggelam pada jam 7.55 pagi, susulan pencarian oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri bermula jam 4.11 pagi.

Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Suffian Hassan, mengesahkan penemuan mayat mangsa dengan maklumat awal kejadian diterima pada jam 3.39 pagi.

Katanya, penduduk kampung mendakwa mendengar bunyi kuat seperti benda besar terjatuh ke dalam sungai dan pemeriksaan menemui kesan kereta terbabas di lokasi kejadian.

ANGGOTA PPDA JBPM Kedah menanda lokasi kereta yang terjunam ke sungai bersama pemandunya selepas ia ditemui. - Foto Ihsan Bomba Kedah
ANGGOTA PPDA JBPM Kedah menanda lokasi kereta yang terjunam ke sungai bersama pemandunya selepas ia ditemui. - Foto Ihsan Bomba Kedah

"Seramai 15 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, digerakkan ke lokasi bersama sebuah jentera, selain dibantu unit Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS), sebuah bot dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).

"Tindakan awal dilakukan dengan mencari mangsa di permukaan air, sebelum PPDA dari Sungai Petani melakukan pencarian menggunakan teknik selaman dan menemui bangkai kereta berserta mayat pemandunya di dasar sungai," katanya.

Suffian berkata, kereta terbabit ditarik keluar dari sungai manakala mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X