Isnin, 27 Jun 2016 | 2:20pm

Suspek pecah rumah ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki berusia 42 tahun, dipercayai suspek pecah rumah selepas mengejar sejauh tiga kilometer dalam kejadian di Lebuhraya Seremban-Kuala Lumpur berhampiran sebuah stesen minyak, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor, berkata terdahulu, suspek yang memandu kereta Volkswagen Passat bersama rakannya dikesan dalam keadaan mencurigakan di Taman OUG, di sini, kira-kira jam 9.30 pagi.

"Suspek memecut kenderaannya sebaik sahaja dihampiri anggota polis. Polis terpaksa mengejar mereka dan melepaskan beberapa das tembakan apabila suspek cuba menghimpit anggota yang menunggang motosikal itu.

"Tembakan itu terkena pada tayar kereta, namun suspek terus memandu laju keretanya sebelum terbabas di Lebuhraya Seremban-Kuala Lumpur berhampiran stesen minyak," katanya pada sidang media di Balai Polis Petaling, sebentar tadi.

Sharul berkata, pemandu kereta itu berjaya ditahan, namun rakannya yang duduk di bahagian penumpang berjaya melarikan diri.

Berita Harian X