Jumaat, 24 Jun 2016 | 5:08pm

Anggota JPJ Melaka didenda RM7,500 terima rasuah

SEORANG penjawat awam, Asbudi Ali, (tengah) dijatuhi hukuman denda RM7,500 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, selepas mengaku bersalah atas tuduhan menerima rasuah RM900 bagi meluluskan ujian memandu empat pelajar, tahun lalu.- Foto Muhammad Hatim Ab Manan
SEORANG penjawat awam, Asbudi Ali, (tengah) dijatuhi hukuman denda RM7,500 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, selepas mengaku bersalah atas tuduhan menerima rasuah RM900 bagi meluluskan ujian memandu empat pelajar, tahun lalu.- Foto Muhammad Hatim Ab Manan

AYER KEROH: Seorang pembantu penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka didenda RM7,500 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menerima rasuah RM900 bagi meluluskan ujian memandu empat pelajar, Mac tahun lalu.

Asbudi Ali, 43, yang didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara lima bulan, jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima rasuah RM900 yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank miliknya sebagai balasan meluluskan ujian memandu empat pelajar Sekolah Memandu Zapcity iaitu Nur Syafinaz Zulkefli, Muhammad Fadli Sulaiman, Srihanum Manda Sari Yusri dan Nurdayanti Mohd Sabri.

Tertuduh didakwa menerima bayaran itu daripada Nur Farhana Abd Malek di Maybank cawangan Merlimau, jam 12.35 tengah hari, 4 Mac 2015.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohammed Heikal Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam dari Tetuan Tee Eng Tuan & Co.

Tertuduh membayar denda berkenaan.

Berita Harian X