Khamis, 23 Jun 2016 | 8:25am

Bayi 18 bulan maut, 5 cedera nahas

KERETA yang dipercayai merempuh sebuah van di satu persimpangan di Jalan Kuala Selangor sehingga van itu terbabas dan merempuh sebuah kedai makan.
KERETA yang dipercayai merempuh sebuah van di satu persimpangan di Jalan Kuala Selangor sehingga van itu terbabas dan merempuh sebuah kedai makan.

KUALA SELANGOR: Seorang bayi lelaki berusia 18 bulan maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah van dengan kereta, awal pagi tadi.

Dalam kejadian di Assam Jawa kira-kira jam 1.40 pagi, bayi dikenali sebagai Rayyan itu maut manakala tiga lagi, termasuk seorang kanak-kanak berusia 10 tahun, Daniel, cedera parah.

Dua lagi yang cedera parah adalah pemandu van berkenaan dikenali sebagai Fairuz, 35, dan seorang wanita, Asmara, 58.

Mangsa yang cedera ringan adalah penumpang van, Fira, 26, dan pemandu kereta jenis Honda Jazz, lelaki bernama Julias, 34, yang beralamat di Sitiawan, Perak.

gn4id:14420413

Dua lagi mangsa dalam van sama, seorang wanita dikenali sebagai Fatimah, 58, dan kanak-kanak lelaki, Haziq, 12, tidak cedera.

Identiti seorang penumpang Honda Jazz belum diketahui.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul, berkata van jenis jenis Nissan Vanette itu dinaiki tujuh orang manakala dua individu berada dalam kereta berkenaan.

"Pasukan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan pada jam 1.56 pagi dan satu jentera bomba dengan enam anggota diketuai Penolong Pegawai Bomba Khadiron Md Diah, dihantar ke lokasi.

"Bagaimanapun, semua mangsa sudah diselamatkan dengan bantuan Bomba Komuniti Bukit Rotan ketika pasukan kami tiba di tempat kejadian.

"Bayi berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai kesihatan di lokasi," katanya.

Mohd Sani berkata, van berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Sungai Nibong, Sungai Besar ketika kejadian.

Sebaik tiba di sebuah simpang empat di Jalan Kuala Selangor, katanya, ia dipercayai berlanggar dengan kereta berkenaan, menyebabkan van itu terbabas dan merempuh sebuah kedai makan berdekatan.

Akibat kemalangan itu, van berkenaan kemek di bahagian kanan manakala Honda Jazz remuk di bahagian hadapan.

"Kita belum mempunyai maklumat punca kejadian dan dari mana kereta yang melanggar van itu datang.

"Pemandu van dan kereta dipercayai mengalami kecederaan tetapi sudah dibawa ke hospital oleh orang awam ketika pasukan penyelamat tiba di sana," katanya.

Semua mangsa dihantar ke Hospital Tanjung Karang (HTK).

Berita Harian X