Isnin, 20 Jun 2016 | 2:18pm

Kanak-kanak cedera digigit beruk

NUR Syazadatul Fatehah Mohd Shahabuddin ditemani ibunya, Mashitah Taha, selepas menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah. - Foto Rahmat Othman
NUR Syazadatul Fatehah Mohd Shahabuddin ditemani ibunya, Mashitah Taha, selepas menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah. - Foto Rahmat Othman

ALOR SETAR: Seorang kanak-kanak perempuan cedera pada betis kanan dan paha kiri akibat digigit beruk peliharaan penduduk yang dikatakan terlepas di Kampung Paya Mengkuang, dekat Pendang, di sini, petang semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang ketika Nur Syazadatul Fatehah Mohd Shahabuddin, 6, bermain dengan beberapa rakan berhampiran kawasan surau di kampung itu, sebelum tiba-tiba diserang beruk berkenaan.

Ibu mangsa, Mashitah Taha, 40, berkata dia hanya menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan penduduk kampung.

"Ketika itu, saya sedang memasak di rumah yang terletak kira-kira 100 meter dari situ. Saya kemudian bergegas ke tempat kejadian dan melihat keadaan anak bongsu saya berlumuran darah dan menangis kesakitan," katanya.

Mangsa kemudian terus dibawa ke Hospital Yan untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah, di sini.

Berita Harian X