Ahad, 19 Jun 2016 | 8:41pm

Wanita warga emas sesat di hutan, ditemui selamat

WARGA emas, Engkerabu Gamang, digendong keluar dari hutan oleh anggota bomba Tatau, petang tadi. - Foto Ihsan Bomba
WARGA emas, Engkerabu Gamang, digendong keluar dari hutan oleh anggota bomba Tatau, petang tadi. - Foto Ihsan Bomba

BINTULU: Seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang dalam hutan berhampiran Rumah Panjang Micheal Junusi, Jalan Nanga Takalit, di sini , ditemui dalam keadaan selamat, petang tadi.   

Mangsa, Engkerabu Gamang, 68, ditemui pasukan mencari dan menyelamat kira-kira satu kilometer dari rumah panjangnya.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Farhan Sufyan Borhan, berkata mangsa yang keletihan terpaksa digendong untuk dibawa keluar dari hutan itu.   

Beliau berkata, wanita itu dikatakan pergi ke hutan berhampiran rumah panjangnya bersendirian untuk mencari hasil hutan pagi tadi.

Namun, keluarganya membuat laporan polis Balai Polis Tatau apabila beliau tidak pulang selepas beberapa jam.

"Kami dimaklumkan mengenai kehilangan wanita itu pada jam 10.35 pagi.

"Empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tatau dikerah ke lokasi kejadian. Mangsa ditemui pada jam 3.30 petang," katanya.

Berita Harian X