Isnin, 13 Jun 2016 | 11:34am
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Rosdan Wahid/NSTP
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Rosdan Wahid/NSTP

Isytihar perang jenayah ragut - Lam Thye

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa dan masyarakat digesa sepakat mengisytiharkan perang habis-habisan ke atas jenayah ragut yang dilihat semakin berleluasa dengan pelakunya seperti tidak takutkan undang-undang.

Ia susulan satu kes ragut pada Jumaat lalu yang mencederakan gadis berusia 20 tahun dalam kejadian di hadapan pos pengawal sebuah gereja di Jalan Tun Sambanthan, di sini.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kes ragut yang tidak berperikemanusiaan mengundang perasaan takut dalam masyarakat walaupun pelbagai usaha diambil bagi membendung jenayah itu.

Katanya, tanggungjawab menangani jenayah ini tidak hanya terletak di atas bahu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) saja, malah masyarakat setempat perlu prihatin.

"Misalnya, kes ragut pada Jumaat lalu menunjukkan pengawal keselamatan gereja terbabit langsung tidak mengendahkan jenayah yang berlaku di depannya.

"Walaupun tidak dapat menangkap peragut berkenaan, beliau boleh membantu dari sudut lain dengan cara memberikan pertolongan cemas. Saya kesal dengan sikap berdiam diri pengawal keselamatan itu," katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Lam Thye berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga harus memainkan peranan dengan mengenal pasti kawasan tumpuan atau 'hotspot' peragut di sekitar kawasan tumpuan masyarakat.

Beliau berkata, penghadang perlu dipasang di sepanjang jalan untuk memisahkan antara jalan raya dan laluan pejalan kaki berikutan lebih 90 peratus modus operandi jenayah ini berlaku di kawasan terbabit.

"Selain memasang lebih banyak sistem kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan panas dan menambah ciri keselamatan seperti membina penghadang jalan, papan tanda garis panduan amaran juga berupaya meningkatkan kewaspadaan dalam kalangan masyarakat," katanya.

Berita Harian X