Sabtu, 11 Jun 2016 | 9:32am

Suami isteri sorok 5.9kg syabu ditahan di LTAS

DADAH jenis syabu. - Foto hiasan
DADAH jenis syabu. - Foto hiasan

KULAI: Sepasang suami isteri ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di sini, semalam selepas disyaki mahu menyeludup dadah dipercayai syabu seberat 5.98 kilogram bernilai RM671,822.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Razak Md Said, berkata pasangan terbabit ditahan Polis Bantuan anggota Balai Polis LTAS kira-kira jam 6 pagi di kaunter mesin pengimbas bagasi.

Katanya, kedua-dua suspek membawa beg pakaian dan sedang melalui pemeriksaan bagasi sebelum dua petugas Polis Bantuan menyedari wujud kandungan mencurigakan dalam beg dibawa pasangan itu.

"Mereka mengarahkan suspek membuka beg berkenaan tetapi pasangan itu enggan dan memberi pelbagai alasan sebelum kedua-duanya dibawa ke Balai Polis LTAS untuk pemeriksaan lanjut.

"Hasil pemeriksaan, polis menemui enam bungkusan plastik lutsinar mengandungi hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu dengan anggaran berat 5.98 kilogram yang disorok dalam dua kotak biskut," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Razak berkata, suspek wanita berusia 35 tahun yang berasal dari Kluang itu memegang tiket penerbangan yang dijadualkan berlepas ke Kota Kinabalu, Sabah pada jam 7.25 pagi semalam dan dijangka kembali ke Johor Bahru hari sama pada jam 5.20 petang.

"Suspek lelaki berusia 52 tahun yang berasal dari Kulai itu dipercayai menghantar pasangannya ke LTAS pada pagi berkenaan.

"Kedua-dua suspek ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan," katanya.

Berita Harian X