Khamis, 9 Jun 2016 | 4:48pm

Nelayan cedera ditikam menantu 

ISKANDAR PUTERI: Seorang nelayan cedera di leher kiri selepas ditikam menantu lelakinya apabila mereka bergaduh di hadapan sebuah sekolah rendah di Tanjung Kupang, Gelang Patah di sini, semalam.

Dalam kejadian itu kira-kira jam 9.45 pagi, mangsa berusia 54 tahun dikatakan hadir ke sekolah berkenaan selepas menerima panggilan telefon daripada anak perempuannya yang memaklumkan bahawa suaminya dalam keadaan marah.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan Noor Hashim Mohamad, berkata polis percaya kejadian itu tercetus apabila anak perempuan mangsa berusia 28 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah berkenaan bertengkar dengan suaminya.

"Apabila mangsa tiba di tempat kejadian selepas menerima panggilan telefon daripada anaknya, mangsa mendapati menantunya berusia 42 tahun sedang bertengkar dengan isterinya di hadapan sekolah berkenaan.

"Suspek marah apabila mangsa masuk campur dalam pertengkaran itu, menyebabkan suspek menikamnya di leher kiri," katanya.

Beliau berkata demikian ditemui selepas Operasi Cegah Jenayah di Bukit Indah di sini, hari ini.

NOOR Hashim (dua dari kiri ) memberi taklimat kepada pegawai dan anggota polis sebelum memulakan Operasi Banteras Jenayah IPD Iskandar Puteri di sekitar Taman Bukit Indah Johor Bahru, hari ini. - Foto Zain Ahmed
NOOR Hashim (dua dari kiri ) memberi taklimat kepada pegawai dan anggota polis sebelum memulakan Operasi Banteras Jenayah IPD Iskandar Puteri di sekitar Taman Bukit Indah Johor Bahru, hari ini. - Foto Zain Ahmed

Noor Hashim berkata, polis yang bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada orang awam kemudian menahan suspek selain merampas senjata daripada lelaki terbabit yang dipercayai digunakan untuk menikam mangsa.

Katanya, ujian saringan air kencing yang dijalankan polis mendapati suspek positif dadah jenis syabu.

Beliau berkata, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini dan keadaannya dilaporkan stabil.

Suspek yang juga bekerja sebagai pengawal keselamatan di tempat lain, ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata berbahaya.

Berita Harian X