Khamis, 9 Jun 2016 | 12:29pm

Tiga mengaku bersalah buat laporan polis palsu

KULAI: Akibat membuat laporan polis palsu mendakwa disamun dan diragut, tiga individu termasuk seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Ketiga-tiga tertuduh iaitu G Vani, 39, Kamaruddin Hassan, 52, dan Muhammad Haziq Baharudin, 23, mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Ahmad Farid Ahmad Kamal.

KETIGA-tiga tertuduh (dari kiri) iaitu G Vani, Kamaruddin Hassan dan Muhammad Haziq Baharudin. - Foto Mohd Azren Jamaludin
KETIGA-tiga tertuduh (dari kiri) iaitu G Vani, Kamaruddin Hassan dan Muhammad Haziq Baharudin. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Berdasarkan fakta kes, ketiga-tiga tertuduh membuat laporan polis secara berasingan di One Stop Centre Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai, antara 3 hingga 6 Jun lalu.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM500 kepada Vani, manakala Muhammad Haziq didenda RM700 dan Kamaruddin pula didenda RM300.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Siti Noriha Jamal, manakala semua tertuduh diwakili peguam K Vijayan.

Berita Harian X