Sabtu, 4 Jun 2016 | 6:00pm
ANGGOTA polis menunjukkan lori yang terbabit dalam kemalangan maut di KM7 Jalan Segamat ke Labis. - Foto Ahmad Ismail
ANGGOTA polis menunjukkan lori yang terbabit dalam kemalangan maut di KM7 Jalan Segamat ke Labis. - Foto Ahmad Ismail

Tiga maut rempuh lori bawa kayu getah

SEGAMAT: Tiga penunggang motosikal terbunuh selepas merempuh sebuah lori membawa muatan kayu getah di Kilometer 7, Jalan Segamat-Labis, di sini awal pagi tadi.

Dalam kemalangan jam 3.40 pagi itu, Zaipul Rahman, 27, dan Rafizul Hakim Rahmad, 18, meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala dan badan.

Muhamad Helmy Kusin, 24, meninggal dunia pada jam 6.30 pagi ketika mendapatkan rawatan di wad kecemasan Hospital Segamat.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi, berkata siasatan awal polis mendapati lori yang dipandu lelaki berusia 37 tahun, keluar simpang berhampiran kawasan perindustrian sebelum membelok ke kanan.

Katanya, tiga motosikal dari arah bertentangan dipercayai menuju Segamat, yang mengelak terus merempuh lori berkenaan.

"Akibat kemalangan itu, dua penunggang motosikal meninggal dunia di lokasi, manakala seorang lagi ketika mendapatkan rawatan," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di sini, hari ini.

Mohd Kamil berkata, pemandu lori itu yang tidak mengalami kecederaan, diarah menjalani ujian saringan air kencing.

Berita Harian X