Selasa, 31 Mei 2016 | 1:31pm

Ketua Geng Samun Rem Sawit ditembak mati

TIMBALAN Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan menunjukkan hasil rampasan milik suspek pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Ipoh, hari ini. - Foto Yahya Zainuddin
TIMBALAN Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan menunjukkan hasil rampasan milik suspek pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Ipoh, hari ini. - Foto Yahya Zainuddin

IPOH: Ketua kumpulan Geng Samun Rem Sawit yang aktif melakukan samun bersenjata di negeri ini sejak awal tahun ini, ditembak mati malam tadi.  

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan, berkata dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, suspek berusia 24 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 terserempak dengan sepasukan polis yang menahannya untuk pemeriksaan sebelum dia bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.  

Katanya, polis membalas tembakan sebelum suspek rebah selepas terkena tembakan itu.  

Beliau berkata, polis menubuhkan satu pasukan khas untuk menjejaki kumpulan itu yang dipercayai terbabit dalam kes samun di sebuah Pejabat Timbangan Sawit di Tapah, membabitkan kerugian kira-kira RM30,000.  

"Suspek yang berasal dari Batu Gajah mempunyai sembilan rekod jenayah  membabitkan dadah, samun dan lain-lain jenayah kekerasan termasuk dikehendaki bersabit satu kes samun empat kenderaan yang masih dalam perbicaraan di Kampar.  

"Dalam kejadian itu, polis merampas motosikal dinaiki suspek, sepucuk revolver, beberapa butir peluru dan sebilah parang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini.  

Hasnan berkata, susulan daripada kejadian itu, polis menjalankan beberapa serbuan di Ipoh serta Batu Gajah sebelum menahan dua lelaki berusia 26 dan 33 tahun yang dipercayai ahli kumpulan berkenaan. 

"Dua suspek ini juga mempunyai rekod jenayah termasuk kes samun dan bunuh manakala salah seorang suspek berusia 26 tahun turut dikehendaki bersabit kes samun empat kenderaan di Kampar. 

"Menerusi serbuan dan tangkapan kedua itu,  polis berjaya merampas empat parang,  sebilah pisau, tiga sarung tangan, empat topeng muka, peralatan menghisap dan menjual dadah, pelbagai barangan peribadi dipercayai disamun serta 10 telefon bimbit dan sebuah kereta PROTON Satria," katanya.

Berita Harian X