Sabtu, 28 Mei 2016 | 12:02am

Ibu berang kejar anak berlumba haram dengan selipar

Anggota polis menghalang wanita berusia 40an bersama selipar mengejar anaknya selepas mengetahui anaknya terbabit dalam kegiatan lumba haram di Jalan Jeniang, Sungai Petani. - Foto Omar Osman
Anggota polis menghalang wanita berusia 40an bersama selipar mengejar anaknya selepas mengetahui anaknya terbabit dalam kegiatan lumba haram di Jalan Jeniang, Sungai Petani. - Foto Omar Osman

SUNGAI PETANI: Seorang ibu yang berang dengan anaknya kerana ditahan polis dalam Operasi Bersepadu Mat Rempit di Batu 10, Jalan Gurun Jeniang, dekat sini, awal pagi Jumaat, mengejar anaknya sambil memegang selipar.

Wanita itu dikatakan menjerit memanggil anaknya kerana degil meskipun sudah dilarang berlumba haram. Malah dia bertindak di luar kawalan apabila turut memukul beberapa anggota polis dengan selipar ketika cuba menghalangnya.

"Mana dia? Aku nak bagi (pukul) dia, dah larang berpuluh kali tapi dia mai (datang) juga tempat ini, " kata wanita itu sambil mencari anaknya.

Namun kemarahan wanita itu dapat diredakan oleh polis sekali gus beredar dari tempat kejadian.

Itu antara kerenah yang disaksikan ketika operasi bersepadu membabitkan empat pegawai dan 30 anggota dari Cawangan Trafik, Pasukan Lejang Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan 26 anggota Sukarelawan Polis Diraja Malaysia (SPDRM).

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa, berkata sebanyak 62 motosikal disita selain 87 saman membabitkan 110 kesalahan antaranya tiada lesen memandu, cukai jalan dan insurans dalam operasi enam jam bermula jam 12 tengah malam itu.

Beliau berkata, polis turut menahan dua penunggang motosikal berusia 16 dan 23 tahun kerana positif dadah selain merampas sebuah motosikal Honda Wave yang dilaporkan hilang di Kangar, Perlis

"Operasi mensasarkan kawasan di Batu 10 Jalan Gurun Jeniang yang menjadi tumpuan golongan penunggang motosikal ini untuk berlumba di hujung minggu.

"Malah ketika operasi dijalankan anggota SPDRM patah lutut kanan dan dihantar ke hospital selepas dirempuh tiga penunggang motosikal yang cuba melarikan diri selepas menyedari polis tiba, " katanya di sini semalam.

Beliau berkata, tiga penunggang motosikal itu kemudiannya melarikan diri dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

FAKTA

62 motosikal disita

87 saman dikeluarkan

110 kesalahan antaranya tiada lesen memandu, cukai jalan dan insurans

Berita Harian X