Selasa, 24 Mei 2016 | 6:08pm

Tiga ditahan, dadah RM5,000 dirampas

KETUA Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah (dua kanan) menunjukkan dadah jenis heroin yang dirampas pada sidang media di pejabatnya di Melaka, hari ini. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
KETUA Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah (dua kanan) menunjukkan dadah jenis heroin yang dirampas pada sidang media di pejabatnya di Melaka, hari ini. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

MELAKA: Polis menahan tiga lelaki dan merampas 263.73 gram dadah dipercayai heroin dianggarkan bernilai RM5,000 menerusi tiga serbuan berasingan di sekitar negeri ini pada Sabtu lalu dan semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah, berkata dalam serbuan pertama di Tanjung Minyak pada jam 4 pagi Sabtu lalu, polis menahan suspek berusia 50 tahun yang disyaki pengedar dadah.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas beg yang digalas suspek menemui dadah jenis heroin seberat 230 gram.

"Siasatan mendapati, suspek mempunyai tiga rekod jenayah lalu membabitkan dadah dan dipercayai aktif menjalankan kegiatan mengedar sejak enam bulan lalu," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Katanya, serbuan seterusnya pada jam 12 tengah malam semalam di Kampung Alai, Jasin berjaya seorang lelaki berusia 55 tahun yang sedang menunggang motosikal, sebelum polis menemui dadah heroin seberat 23.8 gram di dalam poket seluar suspek.

"Suspek ini mempunyai 10 rekod jenayah lalu berkaitan dadah dan baru dua bulan dibebaskan dari penjara.

"Tangkapan ketiga pada jam 10.45 malam pula membabitkan suspek berusia 44 tahun yang ditahan di kawasan rumah pangsa di Bachang berserta dadah heroin seberat 15.93 gram. Lelaki ini juga memiliki 10 rekod jenayah lalu berkaitan dadah dan pecah rumah,"katanya.

Shaikh Abdul Adzis berkata, semua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X