Khamis, 19 Mei 2016 | 1:01pm

Polis tahan 11 individu, rampas tiga pistol

KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur menahan 11 individu dan merampas tiga pistol termasuk satu yang dilaporkan hilang oleh seorang anggota polis, menerusi beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang antara Isnin lalu hingga hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, berkata tangkapan pertama dibuat pada jam 8.30 pagi, Isnin lalu ke atas seorang penganggur berusia 28 susulan satu kes samun dilaporkan di Sentul dua hari sebelum itu.

Beliau berkata, lelaki itu ditahan ketika sedang memandu sebuah kereta di Jinjang Utara dan polis berjaya merampas semula satu set komputer dipercayai hasil samun.

Katanya, turut dirampas adalah sebuah kereta jenis Honda Civic dan satu set anak kunci bersama alat kawalan jauh.

"Berdasarkan maklumat daripada suspek, polis kemudian menyerbu sebuah rumah di Taman Kepong Indah dan menemui sepucuk pistol jenama Colt jenis .38 Special CTG berukuran 10.16 sentimeter berhulu kayu.

"Pemeriksaan lanjut menjumpai 10 biji pil eramin, lima biji pil eramin 5 dan dua biji estacsy," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, sebentar tadi.

Amar Singh berkata, susulan tangkapan itu polis kemudian menyerbu sebuah rumah di Taman Amansiara, Rawang pada jam 7.30 pagi Selasa lalu dan menahan seorang lelaki berusia 23 tahun, dipercayai 'gun runner' (penghantar senjata) dan merampas sepucuk pistol bersama 52 butir peluru daripada suspek.

Turut ditahan, seorang lelaki dan tiga wanita berusia 17 hingga 30 yang berada di dalam rumah itu.

Sementara itu, dalam satu kes berasingan, lima individu termasuk dua wanita ditahan selepas didapati menyimpan sepucuk pistol milik seorang anggota polis yang hilang pada 14 Mei lalu.

Amar Singh berkata, pistol jenis Styer Compact bersama satu kelopak berisi 10 butir peluru itu tercicir di dalam tandas ketika anggota bertugas itu melakukan intipan kegiatan dadah di sebuah kelab malam di Jalan Doraisamy, Dang Wangi.

"Pagi tadi, kita membuat tangkapan ke atas tiga lelaki dan dua wanita di sebuah rumah di Taman Sahabat, Gombak dan berjaya merampas semula pistol yang hilang itu.

"Semua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 35 Akta Senjata Api 1960," katanya.

Berita Harian X