Jumaat, 13 Mei 2016 | 8:33pm

Lelaki nyaris maut kereta terjunam ke sungai

SEORANG lelaki nyaris maut apabila keretanya terjunam ke dalam sungai selepas terbabit kemalangan di Jalan Kampung Baru Pekan Batu 5. - Foto Ihsan Briged Sukarelawan 1Malaysia (BS1M)
SEORANG lelaki nyaris maut apabila keretanya terjunam ke dalam sungai selepas terbabit kemalangan di Jalan Kampung Baru Pekan Batu 5. - Foto Ihsan Briged Sukarelawan 1Malaysia (BS1M)

SIK: Seorang lelaki nyaris maut apabila keretanya terjunam ke dalam sungai selepas terbabit kemalangan di Jalan Kampung Baru Pekan Batu 5, dekat sini, petang tadi.

Mangsa, Norhisham Ismail, 28, dikatakan sempat keluar menyelamatkan diri, sebelum dibantu orang ramai sejurus kereta dipandunya itu terbabas kira-kira jam 6.45 petang itu.

Berdasarkan maklumat, mangsa terdahulu dikatakan gagal mengawal kenderaannya yang terbabas dan merempuh pokok, sebelum terus terjunam ke sungai.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, mengesahkan menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 6.46 petang, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik dikejarkan ke lokasi.

"Ketika sampai, seorang mangsa dilapor sudah berjaya keluar dari kenderaan yang terbabas ke sungai itu dan mangsa yang mengalami kesakitan pada dada dan kaki, dihantar ke Hospital Sik untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Sehingga kini, kereta jenis Toyota LE terbabit masih berada di dalam sungai dan sepasukan anggota dari Briged Sukarelawan 1Malaysia (BS1M) turut bergegas ke lokasi untuk membantu.

Berita Harian X