Khamis, 12 Mei 2016 | 11:08am

Polis Sabah tahan 22 individu di bawah SOSMA

OPERASI khas oleh SOSMA menahan individu di sekitar Lahad Datu. - Foto ihsan esscom.gov.my
OPERASI khas oleh SOSMA menahan individu di sekitar Lahad Datu. - Foto ihsan esscom.gov.my

KOTA KINABALU: Seramai 22 lelaki ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dalam operasi khas 'Ops Gasak 3' di Lahad Datu dan Ranau, baru-baru ini.

Mereka dipercayai mempunyai kaitan dengan Tentera Diraja Kesultanan Sulu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abd Rashid Harun, berkata 20 individu ditahan di sekitar Lahad Datu pada Sabtu lalu, manakala dua lagi ditahan di Ranau, Isnin lalu.

"Operasi pertama dibuat di sekitar Tanjung Labian, Sungai Bilis, Tanjung Batu dan pekan Lahad Datu membabitkan 20 individu ditahan pada Sabtu lalu.

"Dua individu lagi ditahan di Ranau dua hari kemudian," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Gaya Hidup Sihat PDRM Sabah di Perumahan Desa Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini, sebentar tadi.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Salehhudin Abdul Rahman, berkata semua individu terbabit disiasat mengikut Seksyen 130 J Kanun Keseksaan kerana dipercayai melakukan persiapan untuk melancarkan keganasan.

Katanya, semua individu yang ditahan berusia 22 hingga 75 tahun dengan 10 daripada mereka adalah rakyat tempatan, manakala selebihnya dipercayai warga asing.

"Kita akan siasat dari pelbagai sudut dan polis juga percaya mereka ada kaitan dengan Tentera Diraja Kesultanan Sulu," katanya.

Operasi itu disertai polis daripada pelbagai cawangan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Februari lalu, pasukan keselamatan menahan enam individu, termasuk seorang wanita mengikut SOSMA) dalam operasi khas di penempatan pelarian Filipina dan setinggan di Telipok, dekat sini.

Semua suspek warga asing berusia 19 hingga 50 tahun itu disyaki aktif menyalurkan maklumat dan memberi bantuan kepada penjenayah asing di Sabah.   

Berita Harian X