Ahad, 8 Mei 2016 | 4:48pm

Dukung ayah dari rumah terbakar

KEADAAN rumah yang musnah dalam kebakaran di Ketengah Jaya, Dungun, pagi tadi.
KEADAAN rumah yang musnah dalam kebakaran di Ketengah Jaya, Dungun, pagi tadi.

DUNGUN: Kegigihan seorang anak mendukung bapanya yang uzur menyelamatkan mereka daripada kebakaran yang memusnahkan rumah keluarga itu di Ketengah Jaya di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9.40 pagi itu, Shamsul Hairi Husin, 25, menjadi wira apabila bertindak pantas membawa keluar bapanya, Husin Saman, 71, yang tidak mampu menyelamatkan diri kerana uzur.

Shamsul berkata, mereka hanya tinggal berdua di rumah manakala ibunya, Aminah Che Yusoff, 63, keluar ke kedai berhampiran.

"Saya dah nak keluar jumpa kawan sebelum terhidu asap dari bilik ayah, lalu mencari punca asap.

"Ketika itu ayah berbaring di biliknya dan saya dapati asap berpunca daripada api yang marak membakar atap rumah.

"Saya segera mendukung ayah untuk menyelamatkan diri dan dalam masa 15 minit, rumah kami hangus terbakar.

"Mujurlah saya masih di rumah secara keseluruhan. Nasib baik ketika itu saya masih di rumah, jika tidak entah apalah berlaku pada ayah," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Mohamad Jusoh, ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.45 pagi sebelum lapan anggota dengan sebuah jentera dihantar ke tempat kejadian.

"Api dipadam setengah jam selepas kami tiba di lokasi. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca kebakaran masih disiasat," katanya.

Berita Harian X