Ahad, 8 Mei 2016 | 2:41pm
 SEORANG remaja perempuan berusia 18 tahun maut digilis treler, manakala rakannya cedera ringan. - Foto hiasan
SEORANG remaja perempuan berusia 18 tahun maut digilis treler, manakala rakannya cedera ringan. - Foto hiasan

Remaja maut digilis treler, rakan cedera

AMPANG: Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun maut digilis treler, manakala rakannya cedera ringan di Lebuh raya Lingkaran Tengah II (MRRII) berhampiran susur Pandan Jaya, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.47 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda ANC110 bersama seorang rakan perempuannya dikatakan dalam perjalanan dari Ampang menuju Pandan Indah.

Mangsa dan rakannya bekerja sebagai jurujual di sebuah pusat beli-belah di Keramat.

Bagaimanapun, motosikal ditunggangi hilang kawalan lalu terjatuh dan digilis treler dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias, berkata akibatnya mangsa yang cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian.

"Lokasi kejadian mempunyai tiga lorong dan mangsa menunggang motosikal di lorong paling kiri.

"Kemungkinan mangsa hilang kawalan menyebabkan dia dan rakannya yang membonceng motosikal itu terjatuh sebelum digilis treler yang bergerak di lorong sama," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Hamzah berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Katanya, saksi kejadian diminta tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X