Isnin, 2 Mei 2016 | 1:37pm
KEMALANGAN yang mengakibatkan seorang maut berhampiran R&R Ladang Bikam, Lebuhraya PLUS awal pagi tadi.
KEMALANGAN yang mengakibatkan seorang maut berhampiran R&R Ladang Bikam, Lebuhraya PLUS awal pagi tadi.

Penunggang maut dalam nahas 4 kereta, dua motosikal

IPOH: Seorang maut dan seorang parah dalam kemalangan membabitkan empat kereta dan dua motosikal di Kilometer 348.8 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ladang Bikam arah utara awal pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 6.25 pagi itu, penunggang motosikal, Muhammad Alif Danial Rozila, 17, maut di tempat kejadian.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bidor, Mohd Nizam Mohd Affendi, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.28 pagi dan tiba ke lokasi lima minit kemudian. 

Katanya, dua kenderaan PERODUA Alza, dua kereta Toyota masing-masing jenis Vios dan Estima serta dua motosikal terbabit dalam kemalangan itu. 

"Kemalangan itu mengakibatkan seorang penunggang motosikal jenis Yamaha RXZ maut, manakala seorang lagi yang menunggang Kawasaki Ninja parah. 

"Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa yang parah dibawa ke Hospital Tapah untuk rawatan susulan," katanya.

Mohd Nizam berkata, pihaknya kemudian melakukan pemantauan di tempat kejadian dan membantu melakukan kerja pembersihan yang tamat sepenuhnya pada jam 8.15 pagi.

Berita Harian X