Sabtu, 30 April 2016 | 12:18pm

47 ditahan dalam Ops Bah

KETUA Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
KETUA Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

KUALA LUMPUR: Seramai 47 individu, termasuk 15 wanita dipercayai pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam operasi bersepadu Banteras Aktiviti Haram (BAH) di sekitar ibu kota, tengah malam tadi.

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan, berkata operasi siri ke-23 yang bermula kira-kira jam 11.45 malam hingga 5.50 pagi itu menumpukan pusat karaoke dan pusat hiburan yang dikenal pasti menyediakan perkhidmatan GRO beragama Islam.

"Rata-rata kelab hiburan di sini didapati menggaji pekerja beragama Islam termasuk wanita untuk peranan GRO yang merupakan kesalahan jenayah syariah," katanya selepas mengetuai operasi itu.

Adnan berkata turut ditahan adalah pekerja dan pelanggan beragama Islam yang mengambil minuman keras semasa berhibur di situ.

Katanya kesemua yang ditahan akan dibawa ke pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk tindakan lanjut.

Adnan berkata, selain itu pihak berkuasa turut menyita lebih 60 set mesin judi bernilai kira-kira RM300,000 di pusat hiburan kanak-kanak dalam operasi itu.

"Di sebalik pusat hiburan kanak-kanak ini kita kesan aktiviti perjudian namun ketika serbuan pemilik dan pelanggan sudah lari, mungkin operasi telah dapat dihidu lebih awal," katanya.

Operasi dijalankan secara bersepadu melibatkan 285 anggota daripada 23 agensi serta 10 badan bukan kerajaan (NGO) termasuk penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan. - BERNAMA

Berita Harian X