Jumaat, 29 April 2016 | 6:45pm

Rumah rosak teruk dilanggar lori

ORANG ramai membantu mengeluarkan mangsa susulan kejadian sebuah lori muatan pasir yang berundur secara tiba-tiba sebelum terbalik di Taman Woon, Tampin. - Foto Ihsan Pembaca
ORANG ramai membantu mengeluarkan mangsa susulan kejadian sebuah lori muatan pasir yang berundur secara tiba-tiba sebelum terbalik di Taman Woon, Tampin. - Foto Ihsan Pembaca

TAMPIN: Bilik tidur sebuah rumah di Taman Woon di sini, rosak teruk dilanggar sebuah lori 25 tan yang membawa muatan pasir, hari ini.

Dalam kejadian itu kira-kira jam 11 pagi, lori yang diletak di tepi jalan curam kerana rosak, dikatakan berundur secara tiba-tiba sebelum melanggar bahagian tepi sebuah rumah berhampiran.

Kejadian menyebabkan bahagian tepi rumah yang menempatkan bilik tidur rosak teruk tetapi pemilik rumah, C Raveenthiran, 57, bersama isterinya, N Mahassuri, 51, terselamat kerana berada di bahagian lain.

Pemandu lori yang berumur 30-an pula hanya cedera ringan dan dihantar ke Hospital Tampin.

Raveenthiran berkata, kejadian disedarinya apabila terdengar bunyi kuat dan rumahnya bergegar.

"Saya terkejut apabila mendapati dinding bilik tidur roboh dan nampak sebuah lori. Katil dan peralatan dalam bilik turut rosak," katanya.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang, ketika dihubungi mengesahkan pemilik rumah terbabit membuat laporan kejadian di sini pada jam 4.45 petang dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Berita Harian X