Jumaat, 29 April 2016 | 3:19pm

3 ditahan, dadah bernilai RM146,500 dirampas

SHAIKH Abdul Adzis (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di Balai Polis Melaka Tengah, Bandar Hilir. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
SHAIKH Abdul Adzis (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di Balai Polis Melaka Tengah, Bandar Hilir. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

MELAKA: Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM146,500 menerusi tiga tangkapan di sekitar negeri ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah, berkata dalam tangkapan pertama, polis menahan seorang wanita berusia 20-an yang memandu kereta PERODUA Kelisa di Taman Kota Laksamana, kira-kira jam 6 petang.

Katanya, hasil pemeriksaan polis menemui bungkusan dadah disyaki heroin bernilai RM5,000, dipercayai untuk diedar di sekitar kawasan Lorong Pandan dan Tengkera di sini.

"Hasil soal siasat, polis menahan seorang kakitangan institusi kewangan berusia 40-an yang memandu BMW di Taman Bertam Perdana, Malim dan menemui pelbagai jenis dadah disyaki pil Eramin dan Ecstasy bernilai RM11,000 dalam kereta berkenaan pada jam 8.30 malam.

"Susulan penahanan dua suspek itu, polis menahan seorang jurujual lelaki berusia 30-an di Taman Cenderawasih, Durian Tunggal sejam kemudian, dan menemui dadah Ecstacy dan Eramin bernilai RM130,500 di rumahnya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, hari ini.

Beliau berkata, kumpulan itu dipercayai aktif mengedar dadah sejak setahun lalu.

Berita Harian X