Khamis, 28 April 2016 | 2:25pm

22 cedera nahas 4 kenderaan

ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta selepas kemalangan itu. - Foto ihsan Bomba
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta selepas kemalangan itu. - Foto ihsan Bomba

SEREMBAN: Seramai 22 orang cedera apabila empat kenderaan terbabit kemalangan di Jalan Kayu Ara ke Nusari Bayu, Sendayan, di sini pagi tadi.

Kemalangan kira-kira jam 8.30 pagi itu membabitkan sebuah bas kilang, sebuah kenderaan pacuan empat roda, sebuah Perodua Viva dan sebuah motosikal.

Pemandu pacuan empat roda, K Tirunavukatasa, 26, parah kepala dan kaki, manakala pemandu Perodua Viva, Chok Yuet Lee, 22, dan penunggang motosikal, Ramli Mohamed Ali, 65, cedera ringan.

Seramai 19 penumpang bas kilang pula cedera ringan, manakala pemandu kenderaan itu, N Kajenthiran, 24, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun, berkata siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda dari arah bandar ini ke Nusari Bayu, dipercayai memotong sebuah kenderaan lain dan bertembung bas kilang dari arah bertentangan.

Katanya, kenderaan pacuan empat roda itu kemudian melanggar Perodua Viva dan motosikal di belakang bas kilang, manakala bas itu yang hilang kawalan terbalik di tepi jalan.

"Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya di sini, hari ini.

Ketua operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Penolong Kanan Penguasa Bomba Yahya Jaafar, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 8.45 pagi dan menghantar sembilan anggota ke tempat kejadian.

Katanya, pasukan itu tiba di lokasi pada jam 8.53 pagi mendapati pemandu pacuan empat roda terperangkap di tempat duduknya sebelum berjaya berjaya dikeluarkan tidak lama kemudian.

Berita Harian X