Selasa, 19 April 2016 | 2:29pm

Warga tua nafi rogol kanak-kanak 12 tahun

AYER KEROH: Seorang warga tua mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di sebuah rumah di Nyalas, Jasin, dua tahun lalu.

Tertuduh, Ramli Aman, 65, yang juga peneroka FELDA membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Mengikut pertuduhan, Ramli didakwa merogol mangsa di sebuah rumah di Nyalas, Jasin pada Jun 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Tertuduh yang diwakili peguam, M Shangeetha memohon mahkamah untuk diikat jamin kerana menghidap penyakit jantung, diabetes dan lemah daya ingatan, selain perlu menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur setiap bulan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Ruvinna Mohd Rawi yang mengendalikan kes memohon untuk tidak membenarkan jaminan kerana mangsa berusia 12 tahun, selain tertuduh dan keluarga mangsa mempunyai pertalian rapat.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin sehingga pihak peguam bela mengemukakan laporan kesihatan tertuduh dan menetapkan 25 April ini untuk sebutan semula kes.

Berita Harian X