Selasa, 19 April 2016 | 8:42am

6 cedera bas langgar lori sawit

BOMBA memeriksa kenderaan yang kemalangan. - Foto ihsan Bomba
BOMBA memeriksa kenderaan yang kemalangan. - Foto ihsan Bomba

GOPENG: Enam termasuk guru dan pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Langat cedera selepas bas dinaiki mereka melanggar sebuah lori membawa muatan sawit di Kilometer 294.4 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi, bas milik IKBN itu yang membawa 25 pelajar dan enam guru pengiring dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Langat menuju ke Jitra, Kedah bagi menyertai pertandingan nasyid.

Selain guru dan pelajar, pemandu bas berkenaan juga dilaporkan cedera ringan.

Pembantu Penolong Penyelia Bomba Gopeng, Khairi Omar berkata, mangsa yang cedera membabitkan seorang guru lelaki dan dua guru wanita, selain dua pelajar wanita dan seorang pelajar lelaki.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 4.35 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

"Anggota yang tiba mendapati tiada mangsa tersepit, namun membantu mangsa yang cedera sebelum menyerahkannya kepada ambulans dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut," katanya.

Berita Harian X