Isnin, 18 April 2016 | 12:43pm

5 ditahan, 55 bungkus air ketum dirampas

 KETUA Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian dari 55 bungkus air ketum yang dirampas dalam serbuan di dua rumah di Senawang dan Ampangan pada Sabtu lalu pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban. - Foto Iqmal Haqim Rosman
KETUA Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian dari 55 bungkus air ketum yang dirampas dalam serbuan di dua rumah di Senawang dan Ampangan pada Sabtu lalu pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban. - Foto Iqmal Haqim Rosman

SEREMBAN: Polis menahan lima lelaki dan merampas 55 bungkus air ketum dalam serbuan di dua rumah di Senawang serta Ampangan di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun, berkata dalam serbuan pertama kira-kira jam 1.20 pagi di sebuah rumah di Senawang, tiga lelaki ditahan.

Katanya, polis menemui periuk besar mengandungi 55 bungkus air ketum, tiga botol berisi cecair dipercayai ubat tahan sakit iaitu kodein, satu paket Methamphetamine seberat 170 gram, tiga paket plastik berisi ketulan mampat ganja dan penimbang, periuk kecil serta penyepit besi.

"Susulan serbuan itu, kita menyerbu satu lagi rumah di Ampangan kira-kira jam 3 pagi dan menahan dua lelaki serta merampas daun ketum belum diproses seberat 3.2 kilogram.

"Siasatan mendapati sindiket terbabit menjual sebungkus air ketum seberat 500 gram dengan harga RM10. Polis masih menjalankan siasatan terperinci pasaran air ketum ini dan percaya daun itu dibawa dari negeri lain," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, semua suspek berusia antara 22 hingga 37 tahun, mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Katanya, suspek direman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) akta sama dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Berita Harian X