Ahad, 17 April 2016 | 8:16pm

4 cedera kemalangan di stesen minyak

KEADAAN tiga kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di stesen minyak.
KEADAAN tiga kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di stesen minyak.

KUANTAN: Empat pelanggan termasuk seorang pekerja stesen minyak cedera apabila seorang pemandu tertekan pedal minyak keretanya sebelum merempuh dua buah kereta lain di Jalan Sultan Abdullah, dekat sini, pagi tadi.  

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, kejadian kira-kira jam 11 pagi itu berlaku selepas seorang pemandu kereta jenis PROTON Waja dikatakan tertekan pedal minyak kerana mengalami masalah tekanan darah rendah.

"Pemandu kereta itu dikenali sebagai Amran Basir, 64 dan berdasarkan siasatan awal, mangsa mendakwa diserang tekanan darah rendah sebelum tertekan pedal minyak kereta dipandunya itu. 

"Kereta itu kemudiannya terbabas sebelum merempuh dua kereta lain iaitu kereta jenis PROTON Saga dan PERODUA Myvi yang sedang mengisi minyak di situ," katanya ketika dihubungi di sini, petang tadi.

Abdul Aziz berkata, empat yang cedera dalam kejadian itu ialah Amran, pemandu dan penumpang PERODUA Myvi, Nor Nasharudin Mohd Nor, 40 dan Safura Ainy Mohamed Taha serta pekerja warga Bangladesh yang bekerja di stesen minyak berkenaan.

Katanya, pemandu PROTON Saga tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Nor Nasharuddin dan Safura Ainy dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, dekat sini akibat mengalami kecederaan pada bahagian kaki kanan dan terseliuh pada bahagian bahu kiri."

Amran pula dirawat di Pusat Perubatan Kuantan, manakala pekerja stesen minyak berkenaan, Mohsin Taludar, 42, hanya mengalami cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X