Jumaat, 15 April 2016 | 7:34pm

Pekerja restoran maut akibat ditikam di perut

JOHOR BAHRU: Seorang pekerja restoran warga Myanmar maut ditikam di perut dalam kejadian di sebuah asrama pekerja di Taman Gaya, Pelangi Indah di sini, pagi tadi. 

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi, mangsa Ye Naing Tung, 24, ditemui terlentang dalam sebuah bilik dengan kesan darah di perut, manakala beberapa pekerja lain yang menetap di asrama berkenaan didapati melarikan diri. 

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh, berkata sejurus menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan kira-kira jam 10.30 pagi, sepasukan pegawai dan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian. 

"Mayat mangsa ditemui dalam sebuah bilik di asrama pekerja berkenaan di tingkat 3 yang terletak di atas sebuah restoran dan beberapa pekerja lain dipercayai warga Myanmar didapati sudah melarikan diri. 

"Siasatan polis di lokasi kejadian kemudian menemui pisau berukuran 16 sentimeter yang mempunyai kesan darah dipercayai digunakan untuk menikam mangsa, selain terdapat banyak botol serta tin minuman keras," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

Sulaiman berkata, menerusi pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyiasat kejadian berkenaan, polis kemudian menahan tiga lelaki warga Myanmar berusia antara 29 hingga 34 tahun, kira-kira jam 12.45 tengah hari di sebuah asrama pekerja di Taman Perindustrian Cemerlang, Ulu Tiram dekat sini. 

"Kira-kira jam 1.30 petang, polis kemudian menahan seorang lagi lelaki warga Myanmar berusia 21 tahun di sebuah premis di Taman Johor Jaya, dekat sini. Kesemua mereka adalah rakan sekerja mangsa dan turut tinggal di asrama berkenaan. 

"Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dekat sini, untuk dibedah siasat," katanya.

Berita Harian X