Rabu, 13 April 2016 | 12:56pm

TERKINI: 300 rumah hangus kebakaran dua kampung di Tawau

KEBAKARAN memusnahkan kira-kira 300 rumah papan di Kampung Titingan dan Kampung Habib Abdul Rahman, dekat Tawau, awal pagi tadi.  - Foto Abdul Rahemang Taiming
KEBAKARAN memusnahkan kira-kira 300 rumah papan di Kampung Titingan dan Kampung Habib Abdul Rahman, dekat Tawau, awal pagi tadi.  - Foto Abdul Rahemang Taiming

TAWAU: Lebih 3,000 penduduk hilang tempat tinggal dalam kebakaran memusnahkan kira-kira 300 rumah papan di Kampung Titingan dan Kampung Habib Abdul Rahman, dekat sini, awal pagi tadi. 

Kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu dipercayai bermula dari sebuah rumah di blok 10 Kampung Titingan sebelum api merebak dengan cepat sehingga memusnahkan puluhan lagi rumah di Kampung Habib Abdul Rahman yang terletak bersebelahan.

Keadaan berangin selain kedudukan rumah yang rapat antara satu sama mengakibatkan api marak dengan cepat, namun tiada penduduk mengalami kecederaan. 

Penduduk Kampung Tanah Merah, Samsidar Tanang, 28, bersyukur kerana berjaya menyelamatkan diri bersama empat anak termasuk bayinya berumur empat bulan.

"Ketika kejadian suami tiada di rumah kerana bekerja syif malam. Sebaik menyedari rumah terbakar saya terus mendukung bayi dan membawa anak-anak keluar menyelamatkan diri.

"Semua barang gagal diselamatkan melainkan dokumen penting menyebabkan kami sekeluarga tinggal sehelai sepinggang," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Habib Abdul Rahman, Habib Ismail Habib Abdul Rahman, berkata setakat jam 11 pagi tadi lebih 3,000 mangsa mendaftar dengan agensi kerajaan yang terbabit.

Katanya, angka itu dijangka bertambah selepas semua ketua keluarga mendaftar dengan pihak berkuasa.

"Sebahagian mangsa kini ditempatkan di Masjid Habib Rahman manakala yang lain menumpang di rumah saudara-mara dan jiran berhampiran," katanya.

Ketua Zon, Bomba dan Penyelamat Bahagian Tawau, Penguasa Kanan Bomba Ismaidi Ismail, berkata pihaknya menerima panggilan jam 1.33 pagi sebelum menghantar 34 anggota bersama lima jentera ke lokasi.

Beliau berkata, bomba berdepan kesukaran memadamkan api berikutan tekanan air rendah.

Berita Harian X