Khamis, 7 April 2016 | 10:51am

Nelayan hilang ditemui selamat pagi tadi

RIZAL Kadir, 34, (tengah) ditemui oleh anggota Bomba Sukarela pada jam 7.30 pagi tadi.
RIZAL Kadir, 34, (tengah) ditemui oleh anggota Bomba Sukarela pada jam 7.30 pagi tadi.

KUCHING: Seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas memasang pukat di Teluk Angkang berdekatan Taman Negara Bako, petang semalam, ditemui selamat pagi tadi.

Rizal Kadir, 34, ditemui pada jam 7.30 pagi oleh anggota Bomba Sukarela di kawasan Serait, kira-kira satu kilometer dari Teluk Angkang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan, berkata mangsa menghubungi penduduk kampung awal pagi tadi dan memaklumkan lokasinya.

"Sembilan penduduk kampung yang juga anggota Bomba Sukarela bergegas ke lokasi dan menemui mangsa dalam keadaan selamat," katanya.

Semalam, Rizal ke Teluk Angkang bersama adiknya, namun selepas memasang pukat dia menyuruh adiknya pulang ke rumah mereka di Bako dan meminta mengambilnya semula pada jam 4 petang.

Adiknya yang datang semula ke lokasi itu kemudian tidak menemui mangsa di tempat yang dijanjikan lalu memaklumkan kepada penduduk kampung yang kemudian menghubungi talian kecemasan.

Berita Harian X