Rabu, 6 April 2016 | 5:14pm

KPDNKK rampas barangan tiruan bernilai RM31,300

Penolong Penguatkuasa KPDNKK Perlis, Rohazlin Mohd Rejab menunjukkan contoh kasut tiruan yang menggunakan jenama terkenal pada bahagian atas dan jenama tiruan pada bahagian tapak selepas sidang media rampasan barang barang tiruan pelbagai jenama di Pejabat KPDNKK Perlis. - Foto Eizairi Shamsudin

KANGAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perlis merampas pakaian dan kasut berjenama tiruan bernilai kira-kira RM31,300 dalam serbuan di tiga premis di Padang Besar, dekat sini, hari ini.

Rampasan membabitkan lebih 1,000 barangan, antaranya 902 helai seluar jeans pelbagai saiz yang diletakkan jenama Levi's serta 261 jenis kasut sukan pelbagai saiz dan jenama.

Ketua Penguatkuasanya, Jamal Nor Ahmad Harun, berkata rampasan turut membabitkan 98 pasang stokin dan 68 pasang selipar yang menggunakan jenama terkenal seperti Adidas, Nike dan Puma.

"Berdasarkan aduan pengguna, KPDNKK Perlis memeriksa tiga premis sekitar Padang Besar sebelum mengesan beberapa jenis barang yang dipercayai tiruan, dijual menggunakan jenama terkenal," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak lebih RM10,000 jika sabit kesalahan.

Berita Harian X