Rabu, 6 April 2016 | 2:53pm

4 termasuk remaja cuba seludup ketum ditahan

Komander Agensi Keselamatan Sempadan (AKSEM) Perlis, DSP Syed Basri Syed Ali, (kanan) bersama pegawainya menunjukkan daun ketum yang cuba diseludup di dalam kereta jenis Proton Iswara ke kegara jiran yang berjaya ditahan, ketika sidang media di Ibu Pejabat AKSEM Padang Besar. - Foto Eizairi Shamsudin
Komander Agensi Keselamatan Sempadan (AKSEM) Perlis, DSP Syed Basri Syed Ali, (kanan) bersama pegawainya menunjukkan daun ketum yang cuba diseludup di dalam kereta jenis Proton Iswara ke kegara jiran yang berjaya ditahan, ketika sidang media di Ibu Pejabat AKSEM Padang Besar. - Foto Eizairi Shamsudin

PADANG BESAR: Agensi Keselamatan Sempadan (AKSEM) Perlis menahan empat lelaki termasuk seorang remaja berusia 15 tahun yang disyaki menyeludup daun ketum ke negara jiran dalam tiga kes berasingan, semalam.

AKSEM Perlis turut merampas keseluruhan daun ketum seberat 456 kilogram (kg) yang dianggar bernilai RM49,360 melalui ketiga-tiga kes berkenaan.

Komander AKSEM Perlis, Deputi Superintendan Syed Basri Syed Ali, berkata dalam kes pertama, seorang remaja ditahan bersama kenalannya berusia 25 selepas AKSEM Perlis menemui 216kg daun ketum disimpan di bahagian bonet dan tempat duduk belakang kereta PROTON Iswara Aeroback dinaiki mereka.

Beliau berkata, mereka ditahan di Kilometer 27, Jalan Padang Besar-Ulu Pauh pada jam 9.50 malam tadi ketika dipercayai dalam perjalanan untuk menyeludup daun ketum dianggarkan bernilai RM27,280 itu ke negara jiran.

"Dalam melalui kes kedua, seorang lelaki berusia 36 tahun ditahan di Kampung Kolam, di sini ketika memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda ISUZU Trooper yang sarat beberapa bungkusan daun ketum seberat 168kg dan dianggar bernilai RM13,440.

"Dia ditahan pada jam 10.15 malam tadi, dipercayai ingin menyeludup semua daun ketum itu ke negara jiran melalui laluan tikus, " katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Syed Basri berkata, terdahulu seorang lelaki berusia 38 tahun turut ditahan di Bukit Chabang, Jalan Kangar-Padang Besar, ketika membawa 72kg daun ketum bernilai RM8,640 dalam kereta PROTON Waja.

Katanya, semua suspek ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga empat tahun atau denda sehingga RM10,000.

Berita Harian X