Ahad, 3 April 2016 | 2:28pm

Pelajar politeknik maut akibat kencing tikus

PENGARAH Kesihatan negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail. - Foto Eizairi Shamsudin
PENGARAH Kesihatan negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail. - Foto Eizairi Shamsudin

ALOR SETAR: Seorang pelajar Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) di Kulim, dekat sini, yang meninggal dunia di Hospital Kulim, petang kelmarin, disahkan sebagai mangsa leptospirosis atau kencing tikus.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail, yang turut mengesahkan pelajar lelaki berusia 18 tahun itu dijangkiti virus kencing tikus selepas berkunjung dan berkelah di Lata Sedim, dekat Kulim.

Mengulas lanjut, katanya, mangsa terlebih dulu mengalami gejala demam, sakit kepala dan lenguh badan pada 26 Mac lalu, sebelum dikejarkan ke Jabatan Kecemasan pada Khamis lalu.

"Mangsa kemudian dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi rawatan segera pakar, namun disahkan meninggal dunia jam 5 petang kelmarin akibat perdarahan paru-paru disyaki disebabkan komplikasi daripada jangkitan leptospirosis," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr Norhizan berkata, hasil siasatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kulim mendapati pada 8, 10 dan 20 Mac lalu, mangsa bersama tiga rakan berkunjung dan mandi di tempat perkelahan persendirian di Lata Sedim.

Bagaimanapun, katanya, rakan mangsa didapati tidak mengalami sebarang gejala berkaitan jangkitan leptospirosis.

"Pemeriksaan awal juga menunjukkan gejala dan tanda jangkitan leptospirosis dan pihak hospital sudah menghantar sampel darah ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di Kuala Lumpur untuk pengesahan," katanya.

Berita Harian X