Jumaat, 25 March 2016 | 7:52pm

'Geng Angah' aktif curi motosikal tumpas

SHAFIEN (kanan) bersama pegawainya menunjukkan komponen motosikal curi pada sidang media di IPD Shah Alam, hari ini. - Foto Muhammad Sulaiman
SHAFIEN (kanan) bersama pegawainya menunjukkan komponen motosikal curi pada sidang media di IPD Shah Alam, hari ini. - Foto Muhammad Sulaiman

SHAH ALAM: Polis menumpaskan sindiket curi motosikal di daerah ini selepas menahan tujuh lelaki dalam dua tangkapan berasingan, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata pihaknya yakin semua suspek itu adalah ahli 'Geng Angah' yang aktif melakukan aktiviti curi motosikal.

Katanya, hasil risikan daripada unit pasukan khas Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Shah Alam, tangkapan pertama dilakukan pada 16 Mac lalu, kira-kira jam 1.50 pagi di Taman Sri Muda.

"Dalam tangkapan pertama, polis menahan dua suspek dan berdasarkan siasatan susulan yang dilakukan, polis dapat mengesan lima lagi ahli sindiket masing-masing di Sabak Bernam dan Teluk Panglima Garang, sehari selepas itu.

"Hasil siasatan awal yang dilakukan, polis menemui sembilan motosikal pelbagai jenis yang dicuri dan disembunyikan di beberapa lokasi di sekitar bandar ini dan satu di Ampang," katanya pada sidang media selepas Majlis Peringatan Hari Polis ke-209 di Ibu Pejabat Daerah Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, semua suspek berusia dalam lingkungan 24 hingga 32 tahun. Seorang daripada suspek itu memiliki rekod jenayah membabitkan dadah.

"Polis percaya, sindiket ini aktif mencuri motosikal tiga bulan lalu dan memilih kawasan pangsapuri untuk melakukan kegiatan jenayah mereka," katanya.

Shafien berkata, kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini dan turut akan diserahkan kepada IPD Ampang ekoran terdapat satu kes membabitkan kecurian motosikal di sana.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Berita Harian X