Rabu, 23 March 2016 | 1:50pm

Pelajar kolej maut kereta terbabas

RAUB: Seorang pelajar kolej swasta maut selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan di Kilometer 358 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 6.15 petang itu, mangsa, Lai Woon Bin, 25, dari Taman Raub Jaya 6, Raub, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata ketika kejadian, lelaki itu yang memandu PROTON Wira dalam perjalanan dari arah Bentong menghala ke Raub.

Katanya, setiba di tempat kejadian, kenderaan itu dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta PROTON Iswara.

"Orang ramai yang menyaksikan kejadian cuba membantu mangsa sebelum menghubungi pihak berkuasa. Bagaimanapun, Woon Bin disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh anggota perubatan yang tiba sejurus kemudian.

"Kemalangan ini turut mengakibatkan pemandu PROTON Iswara, Azman Mohamad, 45, dan penumpang kenderaan itu, Supian Mahudin, 46, cedera," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, mayat Woon Bin dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

"Mangsa yang cedera turut dirawat di hospital sama," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X