Khamis, 17 March 2016 | 5:11pm

Kemuka permohonan jika ingin buat perhimpunan - Polis

KETUA Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah. - Foto Saddam Yusof
KETUA Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah. - Foto Saddam Yusof

KUALA LUMPUR: Polis menasihatkan individu atau kumpulan yang ingin mengadakan perhimpunan supaya mengemukakan permohonan seperti yang termaktub mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

 

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah, berkata permohonan terbabit perlu diserahkan kepada polis di daerah masing-masing, dalam tempoh 10 hari waktu bekerja sebelum perhimpunan itu berlangsung.

Katanya, ini berikutan, sebelum ini pihaknya mengesan pelbagai kesalahan yang sering dilakukan oleh penganjur walaupun sudah dimaklumkan mengenai peraturan ketika mengadakan perhimpunan.

"Antara kesalahan itu adalah membawa kanak-kanak; menggalakkan pembabitan warga asing; gagal mendapat kebenaran daripada tuan tanah; mengadakan protes jalanan; membawa senjata bahaya dan mengadakan dua perhimpunan serentak dalam satu masa.

"Pelbagai kesalahan ini sering dilakukan penganjur atau kumpulan yang mengadakan perhimpunan dalam daerah ini. 

"Bagaimanapun, kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mana-mana individu atau kumpulan yang melakukan kesalahan dan tidak mengikut undang-undang sedia ada," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, sebentar tadi.

Katanya, ia terkecuali bagi perhimpunan keagamaan mengikut Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan Akta Kesatuan Sekerja 1959.

Dalam perkembangan lain, Zainol berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an selepas menikam dan menyamun seorang warga negara Amerika Syarikat di sekitar Pasar Seni, di sini semalam.

 

Katanya, lelaki berkenaan menikam mangsa dari arah belakang sebelum meminta mangsa menyerahkan wang. Mangsa kemudian menolak suspek hingga jatuh di bahu jalan.

"Berikutan pergelutan itu, dua lelaki yang bertugas di kaunter Pusat Perhutanan Bukit Nenas Eko Rimba, mengejar suspek yang melarikan diri ke arah Muzium Telekom.

"Anggota polis yang sedang melakukan rondaan di kawasan itu turut mengejar suspek hampir 300 meter sebelum berjaya memberkasnya di hadapan Muzium Telekom," katanya.

Hasil pemeriksaan, polis menemui pisau sepanjang 19 sentimeter.

Beliau berkata, suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan ketika samun.

Berita Harian X