Khamis, 17 March 2016 | 10:16am
OPERASI mencari dan menyelamat penuntut Universiti Malaysia Terengganu, Isabassri Ishak, 21, di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus, diteruskan pagi ini. - Foto Aslina Abu Bakar
OPERASI mencari dan menyelamat penuntut Universiti Malaysia Terengganu, Isabassri Ishak, 21, di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus, diteruskan pagi ini. - Foto Aslina Abu Bakar

Operasi mencari penuntut UMT diteruskan

OPERASI mencari dan menyelamat penuntut Universiti Malaysia Terengganu, Isabassri Ishak, 21, di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus, diteruskan pagi ini. - Foto Aslina Abu Bakar
OPERASI mencari dan menyelamat penuntut Universiti Malaysia Terengganu, Isabassri Ishak, 21, di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus, diteruskan pagi ini. - Foto Aslina Abu Bakar

KUALA NERUS: Operasi mencari dan menyelamat seorang penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang dipercayai lemas ketika mandi di Pantai Tok Jembal di sini, petang semalam, diteruskan pagi ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Sharikan Bustaman, berkata usaha mencari ditumpukan di sekitar satu kilometer dari kawasan Isabassri Ishak, 21, dilaporkan hilang kerana benteng di kawasan itu mungkin menghalang mangsa dibawa arus.

"Seramai 16 anggota JBPM dari Balai Kuala Terengganu dan Kuala Nerus serta lima anggota Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) dan Pasukan Kecemasan Khas (EMRS) meneruskan operasi mencari mangsa hari ini.

"Kami juga dibantu 17 anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan kekuatan tiga bot dan anggota polis serta Jabatan Pertahanan Awam (JPAM)," katanya yang ditemui di lokasi kejadian.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang semalam, Isabassri yang juga penuntut Tahun Satu Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Maritim dari Chemor, Perak, itu dipercayai lemas ketika mandi di pantai berkenaan bersama dua rakannya.

Sharikan berkata, arus dan ombak besar menyukarkan operasi mencari dan menyelamat dilakukan.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT, Prof Anuar Hassan berkata, ia adalah kes pertama membabitkan pelajar UMT.

"Kejadian ini mengejutkan kami," katanya sambil menambah UMT sedia membantu pasukan penyelamat menjalankan operasi mencari mangsa.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, ketika meninjau operasi berkenaan malam tadi berkata, kerajaan negeri berusaha menyediakan kemudahan keselamatan di pantai seluruh negeri termasuk menara tinjau dan pengawal pantai.

"Kita sedang mengenal pasti lokasi tumpuan dan pantai yang berisiko untuk aktiviti air," katanya.

Berita Harian X