Rabu, 16 March 2016 | 7:50pm

Ada pihak cuba kaut untung hantar e-mel palsu - Polis

KETUA Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh.
KETUA Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh.

KUALA LUMPUR: Polis yakin ada pihak cuba mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dengan menghantar e-mel palsu berbaur ugutan bom kepada sebuah syarikat pengendali pengangkutan awam darat di negara ini.

E-mel berkenaan dipercayai dihantar dari luar negara, semalam menyatakan kononnya ada bom jangka dipasang di laluan pengangkutan awam itu dan diugut untuk membayar AS$28,964 dolar (RM119,848) sekiranya ingin mengetahui lokasi bom dipasang.

Pihak itu, dalam e-mel yang dihantar kepada bahagian khidmat pelanggan syarikat terbabit turut mengugut untuk memasang bom lain, sekiranya gagal menyerahkan jumlah yang diminta.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai e-mel ugutan itu dan sudah mengarahkan unit anjing pengesan (K9) dan Unit Pemusnah Bom (UPB) bersama syarikat pengangkutan awam itu untuk menjalankan pemeriksaan di semua stesen mereka.

"Bagaimanapun, sehingga hari ini pemeriksaan mendapati tiada sebarang objek mencurigakan ditemui di mana-mana laluan pengangkutan awam itu.

"Polis percaya e-mel itu adalah palsu dihantar bertujuan bagi menakutkan orang awam. Malah, siasatan mendapati e-mel sama turut dihantar di beberapa negeri lain termasuk utara tanah air," katanya kepada BH.

Katanya, polis memandang serius perkara berkenaan dan turut meminta siasatan dilakukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab menghantar e-mel itu.

Katanya, satu kertas siasatan turut dibuka dengan kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X