Sabtu, 12 March 2016 | 9:12am

Wanita maut kereta jatuh sungai

AMPANG: Seorang wanita maut, manakala rakan lelakinya patah kaki selepas kereta dinaiki mereka terjatuh dari tingkat satu sebuah bangunan restoran terus ke dalam sungai di depan kawasan Waterfront di Jalan Bukit Belacan, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian itu jam 1.30 pagi, wanita berusia 46 tahun terbabit maut di lokasi. Difahamkan, dia memandu kereta Honda City ke tingkat satu restoran berkenaan, namun gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas dan terjatuh ke dalam sungai di sebelah bangunan itu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul dalam satu kenyataan sebentar tadi, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 1.52 pagi dan mengerahkan empat anggota ke lokasi.

"Anggota bomba yang tiba pada 10 minit kemudian mendapati sebuah kereta berada dalam sungai terbabit. Selepas kenderaan itu dibawa naik, pemandunya seorang wanita disahkan maut di lokasi, manakala seorang lelaki berusia 45 tahun patah kaki," katanya.

Berita Harian X