X
Jumaat, 11 March 2016 | 9:10pm

Polis Melaka tahan 6 suspek pengedar dadah

MELAKA: Polis menahan enam lelaki berusia 32 hingga 50 tahun dipercayai pengedar dadah serta merampas pelbagai jenis dadah berjumlah RM8,900 dalam empat serbuan berasingan di negeri ini, semalam dan tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah, berkata dalam tangkapan pertama polis menahan seorang lelaki berusia 50 tahun serta merampas dadah jenis heroin, syabu, eramin dan ganja bernilai RM1,400 di Lorong Pandan, kira-kira jam 1 pagi semalam.

Dalam tangkapan kedua pula, katanya, pihaknya menyerbu sebuah pondok di Jalan Tampoi, Krubong kira-kira jam 11 pagi, sebelum menahan tiga lelaki berusia 32 hingga 34 tahun dan merampas sembilan paket dadah disyaki heroin bernilai RM3,000.

"Setengah jam kemudian selepas itu, polis menahan seorang lelaki berusia 40 tahun di Tanjung Minyak dan merampas dadah jenis heroin berjumlah RM1,500.

"Dalam tangkapan terakhir di Klebang Besar kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi, anggota kita menahan seorang lelaki berusia 50 tahun di dalam sebuah kereta dan merampas dadah jenis heroin berjumlah RM3,000," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam dan malam tadi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X