Khamis, 10 March 2016 | 2:10pm

Dua lelaki cuba samun pengurup wang ditembak

PREMIS yang cuba disamun oleh enam lelaki bersenjatakan lima bilah parang di Jalan Genting Klang, Danau Kota, Setapak, pagi tadi.
PREMIS yang cuba disamun oleh enam lelaki bersenjatakan lima bilah parang di Jalan Genting Klang, Danau Kota, Setapak, pagi tadi.

KUALA LUMPUR: Cubaan sekumpulan enam lelaki bersenjatakan parang menyamun premis pengurup wang dan kedai serbaneka di Danau Kota, Setapak di sini, pagi tadi, gagal selepas dua daripadanya ditembak oleh pengawal keselamatan.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, semua suspek yang memakai topi keledar memasuki premis yang menempatkan kedai serbaneka dan pengurup wang.

Pemilik premis pengurup wang yang enggan dikenali berkata, lima daripada suspek dilihat membawa parang ketika memasuki kedai berkenaan.

"Pada masa sama, pengawal keselamatan yang berada dalam kedai melepaskan tembakan ke arah suspek dan terkena dua suspek.

"Bagaimanapun, empat suspek sempat melarikan diri dan membawa seorang daripada rakan yang cedera manakala seorang lagi dapat ditahan," katanya ketika ditemui BH, sebentar tadi.

Katanya, kumpulan suspek terbabit melarikan diri dengan menaiki empat motosikal.

Difahamkan, suspek yang cedera ditembak dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan.

Setakat ini, suspek dilaporkan hanya sempat mengambil kad tambah nilai dari kedai serbaneka terbabit.

Berita Harian X