Selasa, 8 March 2016 | 6:57pm

Polis tahan sepasang kekasih bawa pistol

PDRM logo
PDRM logo

SEREMBAN: Polis menahan sepasang kekasih dan merampas sepucuk pistol, peluru serta dadah bernilai RM2,000 dalam sebuah kereta klon yang mereka naiki di Taman Permai di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun, berkata hasil maklumat orang ramai, lelaki berusia 34 tahun dan wanita warga Vietnam berusia 23 tahun itu ditahan di kawasan perumahan itu, jam 12.30 tengah hari.

Katanya, polis menemui sepucuk pistol Revolver buatan Taiwan, 21 butir peluru, lima kelongsong peluru, manakala dadah pula adalah syabu seberat 7.10 gram, Eramin 5 (2.6 gram) dan yaba (0.3 gram).

"Kereta ini dipercayai klon kerana tidak didaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), selain nombor casis tidak wujud.

"Polis tidak menolak kemungkinan mereka terbabit kes dadah dan jenayah kekerasan, iaitu samun menggunakan senjata api," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, lelaki terbabit yang berasal dari negeri ini, mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah, manakala wanita terbabit mempunyai dokumen perjalanan yang sah, tetapi siasatan akan dibuat sama ada dia terbabit dalam aktiviti tidak bermoral.

Katanya, mereka direman selama tujuh hari mulai hari ini dengan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12(2) akta sama kerana memiliki dadah.

Berita Harian X