Isnin, 7 March 2016 | 12:10pm

Polis tahan lelaki suspek pecah rumah

KOTA KINABALU: Polis menahan seorang penjenayah yang disyaki terbabit dalam kes rompakan bersenjata di sebuah rumah di Taman Kuliah, Menggatal, di sini.

Suspek lelaki berusia 31 tahun itu ditahan dalam serbuan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sebuah rumah di Kampung Padas, Menggatal, jam 2 petang semalam.

Ketua JSJ Sabah, Datuk Salehhudin Abd Rahman, berkata suspek ditahan selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam, selain siasatan susulan kejadian berkenaan.

"Dalam kejadian pada 4 Mac lalu itu, suspek memecah masuk ke rumah terbabit yang didiami empat beranak sambil membawa sebilah pisau dapur.

"Suspek juga mencederakan seorang mangsa wanita sebelum melarikan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, wang tunai RM300, rantai dan cincin emas serta telefon bimbit," katanya pada sidang media di IPD Kota Kinabalu, di sini, sebentar tadi.

Salehhudin berkata, siasatan lanjut mendapati suspek memiliki lapan rekod jenayah selain positif dadah jenis syabu.

"Suspek kini direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15 (1) (c) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Berita Harian X