Ahad, 28 Februari 2016 | 8:02pm

Warga tua maut bertembung lori

ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang maut tersepit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Tampin-Gemas. - Foto bomba
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang maut tersepit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Tampin-Gemas. - Foto bomba

TAMPIN: Seorang warga tua maut apabila kereta dipandu bertembung dengan sebuah lori di Jalan Tampin-Gemas, berhampiran Gemencheh, di sini, petang tadi.

Kejadian kira-kira jam 3 petang itu menyebabkan Yap Siew Yin, 78, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah selepas tersepit di tempat duduk pemandu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tampin, Helmi Ayoub, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.04 petang dan bergegas ke lokasi kejadian bersama lapan anggota serta sebuah jentera Perkhidmatan Perubatan Penyelamat Kecemasan (EMRS).

Katanya, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Tampin ke Gemencheh dan bertembung dengan sebuah lori tanpa muatan dari Gemencheh.

"Mangsa yang tersepit dikeluarkan beberapa minit kemudian, tetapi disahkan meninggal dunia dan mayatnya dihantar ke Hospital Tampin," katanya.

Berita Harian X