Sabtu, 27 Februari 2016 | 12:26pm

Seorang lagi mangsa nahas Kuala Selangor meninggal dunia

KEMALANGAN melibatkan sebuah kereta dan lori ayam yang menyebabkan dua orang maut manakala tiga lagi cedera parah berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Permatang, Kuala Selangor, kira-kira 9 malam tadi. - Foto Ihsan BOMBA
KEMALANGAN melibatkan sebuah kereta dan lori ayam yang menyebabkan dua orang maut manakala tiga lagi cedera parah berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Permatang, Kuala Selangor, kira-kira 9 malam tadi. - Foto Ihsan BOMBA

KUALA SELANGOR: Seorang lagi mangsa kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori membawa ayam di Kuala Selangor, malam tadi disahkan meninggal dunia.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Aizuddin, 23, meninggal dunia tengah malam tadi ketika menerima rawatan di Hospital Tanjong Karang (HTK) di sini sini.

Dalam kemalangan kira-kira jam 9 malam itu, dua rakan mangsa, Mohd Alif, 27, dan Wan Azri, 24, maut selepas terbabit dalam kemalangan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Permatang, Kuala Selangor.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 9.30 malam tadi memaklumkan kemalangan di persimpangan Bukit Belimbing.

Katanya, kereta dinaiki lima lelaki itu dipercayai dilanggar dari sebelah kiri oleh lori yang datang dari arah Tanjung Karang menghala Kuala Selangor.

Kereta yang dinaiki mangsa dari arah Kuala Selangor itu dipercayai berkonvoi dengan sebuah lagi kereta yang dinaiki beberapa orang untuk ke majlis kenduri kahwin di Bukit Belimbing.

"Setiba di lokasi, kereta pertama memasuki simpang namun kereta yang dinaiki mangsa tidak sempat berbuat demikian sebelum dilanggar lori," katanya.

Dua lagi mangsa yang menaiki kereta itu, dikenali sebagai Mohd Nor Afdzan, 21, dan Mohd Azlan, 25, dilaporkan parah dan menerima rawatan di HTK.

Berita Harian X