Rabu, 17 Februari 2016 | 1:02pm

4 remaja maut: Tiada unsur jenayah - polis

HONDA Accord dipercayai dinaiki empat remaja lelaki ditemui berhampiran ladang kelapa sawit di Kilometer 42, Jalan Kota Tinggi-Mersing pagi tadi. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim
HONDA Accord dipercayai dinaiki empat remaja lelaki ditemui berhampiran ladang kelapa sawit di Kilometer 42, Jalan Kota Tinggi-Mersing pagi tadi. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

JOHOR BAHRU: Polis menolak sebarang unsur jenayah membabitkan penemuan kereta dan empat remaja dalam parit di ladang kelapa sawit di Kilometer 42 Jalan Mersing - Kota Tinggi.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata setakat ini siasatan awal mendapati kereta mangsa dipercayai terbabas sebelum jatuh ke dalam parit di ladang terbabit.

Bagaimanapun katanya, pihaknya masih menunggu hasil bedah siasat terhadap keempat-empat mayat mangsa yang ditemui dalam kereta terbabit.

"Setakat ini siasatan tidak menjurus kepada unsur jenayah. Kita masih menyiasat punca kejadian," katanya pada sidang media, di sini.

Empat lelaki itu dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan dari rumah mereka di Bandar Seri Alam, di sini, ke Terengganu untuk bercuti. 

Semua mereka yang berusia 21 tahun dikenali sebagai Luqman Jainie, Abu Izzani Abu Bakar, Nik Shakir Zufayri dan Muhammad Asyraf Isa. 

Siasatan polis mendapati mereka bertolak dari Seri Alam, di sini kira-kira jam 9.30 malam Rabu lalu dengan menaiki kereta Honda Accord untuk bercuti di Terengganu.  

Mereka dipercayai melalui jalan Johor Baharu-Kota Tinggi-Mersing-Rompin untuk ke lokasi percutian yang masih belum diketahui lokasinya secara tepat. 

Namun, selepas dua jam bertolak kira-kira jam 11.30 malam mereka gagal dihubungi melalui talian telefon bimbit.

Susulan kejadian itu, keluarga mangsa membuat laporan polis lima hari kemudian selepas gagal menghubungi semua mangsa.

Kira-kira jam 9.30 pagi tadi, kereta Honda Accord itu ditemui beberapa pekerja ladang berkenaan sebelum menghubungi polis.

Berita Harian X